Best kan tajuk entry ni...macam tajuk Al-Kuliyyah TV3 kan....
Entri kali ni lebih kurang macam al-Kuliyyah versi perkataan lah jugak....
Kerja itu ibadah…..LY rasa hampir semua orang pernah dengar atau baca phrase ni…. Tak kisahlah kalau kerja tu cuma sebagai peon ke….atau mungkin sebagai pembuat kopi di pejabat saja barangkali. Semua kerja yang halal itu adalah ibadah. TETAPI betulkah kerja yang kita lakukan sekarang ini hanya sekadar kerja atau telah mencapai status kerja sebagai ibadah….
LY hanya ingin meluahkan pendapat berdasarkan persekitaran kerja LY yang baru 3 bulan LY tempuhi ini….Sesebuah sekolah tidak akan berjaya sekiranya hanya GURU dan murid sahaja yang menyumbangkan tenaga dalam melaksanakan ibadah mereka. Tetapi, kejayaan sesebuah sekolah itu juga berkait rapat dengan terlaksananya ibadah (kerja) seorang tukang kebun, peniaga kantin, pembantu makmal sekolah dan juga KERANI-KERANI di bahagian pengurusan pentadbiran sekolah.
Jika kita bertugas sebagai tukang kebun tetapi kita tidak melakukan tugas/kerja dengan betul maka sekolah akan menjadi suram, kotor dan akan menjejaskan persekitaran sekolah yang mendorong kepada ketidakselesaan untuk belajar. Maka, seandainya kita hanya bekerja sebagai seorang tukang kebun, kita tidak boleh hanya berfikir tugas kita sekadar menjadi tukang kebun tetapi kita harus berfikir kita juga adalah penyumbang utama kepada kejayaan sekolah tempat kita bertugas. Kerana tugas kita sebagai tukang kebun, maka kita menyumbang kepada persekitaran yang kondusif untuk proses pembelajaran. Dengan itu, barulah kerja kita itu layak dikatakan ibadah. Kerana, kerja kita itu telah member manfaat kepada orang lain.
Sebagai seorang peniaga kantin juga, perniagaan kita bukan sekadar mengaut keuntungan. Tetapi kita juga perlu menjaga kebersihan makanan, kebersihan tempat memasak, kebersihan kantin dan kualiti makanan yang di jual. Kerana, menjadi peniaga kantin adalah kerja yang menyumbang kepada ibadah kerana kita telah memberi manfaat kepada murid-murid, guru-guru, dan kakikatangan sekolah untuk mengisi perut mereka sewaktu lapar selanjutnya memberi tenaga untuk mereka-mereka ini melakukan kerja.
Bekerja sebagai seorang kerani atau pembantu am rendah di pejabat sekolah juga adalah suatu ibadah sekiranya kita melakukan tugas kita sehabis baik. Tugas menyebarkan maklumat, mengumpulkan maklumat, menyimpan data, membuat salinan dokumen-dokumen yang diperlukan guru hendaklah dilakukan dengan cepat, cekap dan cermat. Di ikuti juga dengan raut wajah yang ceria dan layanan penuh mesra BESERTA niat yang ikhlas bersamaan pertuturan yang berhemah semasa atau selepas sesuatu tugas di selesaikan.
Seorang guru bukan sekadar mengajar didalam kelas tetapi juga harus memastikan pelajar tidak merayau sewaktu PnP dijalankan. Seorang guru perlu mengawal disiplin pelajar, mendenda pelajar yang melakukan kesalahan, mengambil tindakan tatatertib sekiranya pelajar terus melakukan kesalahan kerana ibadah seorang guru adalah untuk memastikan muridnya memberi manfaat kepada orang lain, bukan memberi masalah kepada orang lain.
Seorang guru yang telah diberi tugas perlu melaksanakannya dahulu dengan sehabis baik bukan mencari alasan sebelum melakukan kerja. Seorang guru yang telah ditegur akan kesalahannya perlu muhasabah diri untuk perbaiki kelemahan diri bukan menjadikan alasan yang telah berlalu sebagai faktor utama kepada kegagalan dalam melaksanakan tugas.
Sekian entry ala-ala al-Kuliyyah TV3 versi ayat karangan dari LY walaupun tak ada dalil dan nas. Sekadar sebagai peringatan kepada diri sendiri, rakan-rakan guru baru SMKRJ, staf-staf SMKRJ dan semua yang membaca. Yang baik kita jadikan teladan, yang buruk kita jadikan sempadan.
~batubersurat: nak print lepas tu edar dekat semua staf dan cikgu okay jugak kan!!!~
No comments:
Post a Comment